Subsidi Dan Kita

29/11/14 | Tulisan

Kongsi: 

Subsidi dan Kita HaizamOLEK

Kemakmuran negara sejak sekian lama berkait rapat dengan menerima bantuan atau kebajikan dari pihak pemerintah. Kebajikan atau lebih dikenali sebagai subsidi yang merupakan suatu mekanisme bagi urusan ini. Bantuan pemerintah secara langsung yang sudah begitu lama bagi mengurang kos yang ditanggung oleh kita, dalam urusan membeli barang-barang keperluan atau pun dalam urusan pengeluaran barang-barang keperluan di dalam negara kita. Tapi hari ini satu demi satu subsidi ini ditarik balik oleh pihak pemerintah dan yang terbaru kali ini melibatkan subsidi minyak pula. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Al-Hajj : 77. Harga petrol yang kita bayar di stesen minyak itu bukanlah harga pasaran sebenar, harganya lebih tinggi lagi. Setiap kali kita membeli petrol, pihak pemerintah juga turut membayar bersama untuk kita. Ianya bertujuan untuk mengurangkan beban di setiap pembelian kita. Ianya juga merupakan agihan hasil bumi negara ini, dan pihak pemerintah bertanggungjawab mengembalikan keuntungan hasil bumi ini kepada kita dalam bentuk subsidi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. Ali Imran: 92. Kita mendambakan sebuah pemerintahan yang bukan sekadar meletakkan perkiraan untung rugi sebagai ukurannya, akan tetapi juga kita mengharapkan pemerintah yang menyelami nurani hati setiap kita, yang memahami keperluan kita dan bertindak untuk menyejahterakannya kita. Pemerintah seharusnya berusaha keras untuk memikul bebanan negara, bukan semahunya mencari jalan mudah, melepaskan beban itu kepada kita. Firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurnia Nya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). At-Tawba : 76. Timbul persoalan ramai dari kalangan kita, mengapa negara kita yang menjadi pengeluar minyak, tidak dapat menurunkan harga minyak di negara. Ke manakah agihan hasil bumi negara yang di anugerahkan Allah SWT. Kita tertanya-tanya bagaimanakah pengurusan sumber tersebut, sehinggakan subsidi yang diberikan selama ini akan ditarik balik. Kita khuatir ada penyelewengan dan kezaliman di situ. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Al- Maidah : 8. Sejak akhir-akhir ini berbagai tanggapan mengenai pemberian subsidi ini disuarakan, namun bagaimana pandangan pemberian subsidi ini menurut perspektif syariah Islam. Islam membenarkan pemberian subsidi ini dan ada ketikanya subsidi menjadi keperluan jelata oleh pemerintah demi kesejahteraan dan kemakmuran seperti yang dilakukan di negara selama ini. Subsidi dianggap salah satu cara (uslub) yang boleh dilakukan oleh pemerintah, kerana termasuk pemberian milik negara kepada individu rakyat yang menjadi hak dan tanggung jawab pemerintah. Khalifah Umar bin Al-Khattab pernah memberikan harta dari Baitul Mal (Dana Negara) kepada para petani di Iraq agar mereka dapat meningkatkan pertanian mereka. Menurut pemerintah, subsidi yang selama ini di tanggungnya tidak tepat sasarannya, juga sangat membebankan, hingga menjejaskan perbelanjaan pembangunan dan sektor-sektor lain yang juga penting. Faktor harga minyak mentah dunia yang berubah-ubah turut menjadi salah satu pertimbangan pemerintah dalam mengambil kira dalam merancang semula subsidi ini. Menurutnya lagi pilihan tepat bersubsidi harus dikaji agar tepat sasarannya. Menarik semua subsidi untuk menampung ketempangan ekonomi pemerintah yang boros melambangkan betapa usaha itu tidak menepati syariah. Walaupun peranan sesebuah pemerintahan untuk memberi subsidi merupakan pilihan, tapi ianya berperanan meningkatkan kestabilan sosial, mengurangkan jenayah dan permasalahan. Menurut siasah syariah, jaminan ini adalah ruang lingkup urusan pemerintah. Perlulah berhemah dalam menarik sesuatu subsidi yang telah diberikan, kita khuatir berlaku suatu tindakan negatif terhadap sosial. Konsep keadilan dan penyampaiannya acap kali digunakan untuk melihat polisi pemerintah terhadap kita sebagai jelata. Negara harus mengagih sumber alam yang dikuasai kepada rakyat secara adil. Pada tahap ini prinsip keadilan ditagih dan perlu diterapkan. Konsep keadilan dan ihsan di dalam Islam, ianya berkait rapat menjadi agenda pelaksanaan oleh pemerintah. Asasnya ihsan bagi ilmu fikah sebagai sedekah, faraid, hibah, derma dan sebagainya untuk meningkatkan kuasa membeli di kalangan jelata. Namun dalam konteks luas, subsidi adalah suatu bentuk sedekah atau infak pemerintah untuk jelata semata-mata, dilihat sebagai kestabilan ekonomi, sosial dan mencegah mudarat serta jenayah akibat himpitan ekonomi. Kita khuatir konsep ihsan ini cuba diabaikan oleh pemerintah yang ada sekarang.

28.11.2014

Kongsi: