Runsing

08/06/10 | Tulisan

Kongsi: 

Sejak dua malam ini payah betul hendak melenakan mata. Penat betul terasa badan hari ini. Runsing memikir hal pentadbiran masjid yang sedang disusun, tak sangka, ingatkan senang sahaja. Ketika di lantik di mesyuarat pemilihan pada awal Jun 2009 tak terfikir ianya boleh merunsingkan sebegini.

Turutkan hati hendak sahaja buat dan hantar surat perletakkan jawatan, tapi bila terkenang masjid, kawan-kawan dan diri ini nak buat kerja apa setelah itu, tak sanggup pula, digagahi juga. Ini kerja masjid, kerja Lillahi Ta`ala mungkin ujian  Nya, ianya membuat jiwa ini tenteram kembali.

Mentadbir sesebuah masjid ini seperti mentadbir sesebuah jabatan, ianya melibatkan pembangunannya serta senggara bangunan, elektrik, sistem audio, ICT, kewangan pengajian/pendidikan dan sebagainya seumpama sebuah jabatan kecil di kawasan atau daerah kediaman sesebuah masyarakat. Sudahlah demikian masjid tersebut tiada jurutera, tiada juruteknik, tiada akauntan dan sebagainya bagi melaksanakan kerja-kerja perlu. Ianya dilengkapi dengan beberapa pegawai bidang Islam dan beberapa AJK yang rata-rata bukan berbidang pentadbiran, malah ramai yang tidak terlatih dan terdedah mengenai pentadbiran.

Macam mana boleh tak pening kita, pernah peraturan simpan wang di bank dan perbelanjaan dipertikaikan, diminta wang kutipan di belanja terus, mengapa perlu simpan dan keluarkan cek untuk belanja soal mereka, beramai-ramai pula tu. Urusan panggilan sebut harga lagi satu hal, kecoh, kerap di langgar peraturannya.

Pening kepala susah nak tidur dibuatnya, menjadi-jadi runsing, bersabar berdoa ke hadrat Ilahi dan cuba terang kepada mereka sedikit demi sedikit, moga-moga fahamlah mereka. Moga Allah memberkati agar dapat berkhidmat sehingga Jun 2012, mudah-mudahan.

 

HaizamOLEK

Kongsi: