Kenaikan Minyak Suatu Peringatan HaizamOLEK

16/10/14 | Tulisan

Kongsi: 

Ramai yang terkejut dan tidak berpuas hati di atas kenaikan harga minyak di negara baru-baru ini. Harga ini baru sahaja dinaikkan dan ianya naikkan lagi. Subsidi ditarik dan ditarik lagi. Ramai tak setuju dan ada juga yang setuju, berbagai pendapat di suarakan, di utarakan.

Mari bersama-sama kita rujuk ayat dari surah Al-Anaam ayat 42 dan Ayat 43;

Firman Allah SWT mafhum Nya:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu (lalu mereka dustakan), kemudian Kami seksa mereka dengan (menimpakan) kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri. Al-Anaam : 42.

Mungkin ada kalangan kita yang menganggap kisah yang di bentang dalam Al-Quran ialah kisah lama, kisah dahulu, betul-kah. Al-Quran suatu bacaan yang sesuai semua zaman, dahulu, kini, malah hingga ke alam akhirat ianya tetap relevan. Baginda Rasul saw sudah lama wafat lebih seribu tahun dan sudah lama meninggalkan kita semua. Sekarang yang ada syariat Islam yang ditinggalkan oleh baginda untuk ikutan kita, di samping itu juga kita disarankan untuk menyampaikan kepada semua, berpandukan Al-Quran, Al-Hadis dan sunnah baginda saw. Jika ada yang tidak mahu ikut atau membantah bermakna menolak utusan Allah SWT yakni para rasul-rasul tersebut. Sendiri mahu ingat.

Seterusnya ayat itu disambung dengan; “Kami seksa dengan (menimpakan) kesengsaraan dan kemelaratan,”. Menurut kamus dewan bahasa, seksa bermakna kesengsaraan, kesusahan, kesakitan yang dideritai sebagai hukuman, hukuman yang menyakitkan, yang menyusahkan dan lain-lain yang setara dengannya.

Negara kita begitu banyak hasil bumi tidak seperti di beberapa buah negara-negara di Afrika, kering tandus dan terus kemarau. Negara kita sering ditimba hujan, tanah-tanah subur, hasil bumi melimpah ruah. Kita ada pertanian, sayur-sayuran, seperti di kebun-kebun sayur di Cameron Highland. Beras atau padi, seperti  kawasan-kawasan sawah padi terkenal di negeri Kedah Jelapang padi. Kita ada banyak ikan di negara, hasil nelayan, di pantai timur, pantai barat. Kita ada perusahaan ayam dan telur, hampir di setiap negeri, mengeluarkan hasil penternak. Kita ada ladang tanaman tebu, kita keluarkan gula malah berbagai sumber makanan di bawa masuk dari luar membanjiri negara. Tetapi kita sengsara dengan harga tinggi, harga mahal. Ikan kembung rata-rata sepuluh RM sekilo. Kita ada banyak ladang getah, hampir seluruh negeri di negara, tapi bila kita ingin tukar tayar kereta, kebanyakan kereta, rata-rata harga 4 biji tayar melebihi satu ribu RM.

Negara kita pengeluar minyak, tapi harga minyaknya tinggi dan naik dan naik lagi. Ramai yang sengsara dengan kenaikan ini. Ke mana hilangnya hasil bumi minyak ini. Sana sini merungut, sama ada mereka dari parti pembangkang, baik juga mereka dari parti kerajaan. Seolah-olah sengsara ini dideritai seluruh kita di dalam negara.

Kesengsaraan ini ditambah dengan keseksaan kemelaratan, wabak penyakit dan bencana alam. Diserang bermacam-macam penyakit, wabak selema burung, wabak kencing tikus, wabak H1N1, denggi yang tak pernah basmi walaupun kempen membasmi tak jemu-jemu dibuat dan berbagai lagi wabak melada negara, kita sengsara dengan wabak-wabak ini.

Ditokok dengan sengsara bencana alam, banjir di beberapa kawasan di negara. Yang terbaru ini heboh dilanda kemarau di beberapa negeri di negara. Di setengah tempat bekalan air terpaksa dicatu. Mungkin ramai kalangan kita tidak sedar kesengsaraan ini.

Allah SWT amat sayang kepada kita sebagai hamba-hamba Nya. Dia meminta kita supaya memohon kepada Nya. Dia menyuruh kita tunduk merendah diri kepada Nya. Yang hairannya masih ada kalangan yang menyokong kenaikan-kenaikan ini. Tidak terasa akan musibahnya, ramai yang bantah, ramai yang tentang, tapi terus di mulia, terus tersanjung, ramai juga yang diam, seolah-olah mereka tidak faham apa yang diterangkan ayat tersebut. Ada yang menyuruh bersyukur di atas kenaikan ini, ada yang bersetuju kenaikan ini atas dasar mengimbangi sedekah, malah ada yang bersetuju terlampau. Kasihan akan diri kita yang terasa akan kesengsaraan di atas kenaikan ini, seolah-olah tiada pembelaan, teramat dirasai tidak ada pihak yang mampu membela. Inilah yang disarankan oleh ayat tersebut, terseksa dengan ditimpa kesengsaraan dan kemelaratan.

Mengapa di atas keseksaan kesengsaraan dan kemelaratan padah kenaikan ini masih ada penyokongnya. Ini diceritakan dalam ayat seterusnya. Walau pun kita disuruh berdoa, tunduk merendah diri, Allah SWT juga menerangkan siapakah di kalangan mereka yang bersetuju di atas kesengsaraan kenaikan itu.

Firman Allah SWT mafhum Nya;

Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan. Al-Anaam : 43.

Mereka adalah kalangan yang tidak dapat memandang atau kalangan yang tidak mahu faham akan peringatan tersebut, peringatan dari Allah SWT Pencipta kita. Hati mereka keras seolah-olah telah termakan bisikan syaitan. Apa akan jadi kepada mereka ini. Lihat ayat seterusnya, masing-masing pakat tengoklah sendiri, di Surah Al-Anaam ayat 44.

Kongsi: