Kepatuhan Kita

23/10/14 | Tulisan

Kongsi: 

Kepatuhan dan Kita

Patuh menurut Kamus Dewan bererti menurut (perintah, peraturan, hukum dan lain-lain), taat, tidak membantah. Manakala kepatuhan bererti perihal patuh (menurut perintah), sifat patuh dan ketaatan. Kepatuhan yang paling utama bagi setiap kita ialah mentaati segala diperintah Allah SWT serta menjauhi segala larangan Nya yang tercatat di dalam Al-Quran. Di samping itu kita juga ada kepatuhan sesama insan, seperti patuh kepada baginda nabi saw, patuh kepada ulama, patuh kepada ibu bapa, patuh kepada guru-guru, patuh kepada pemimpin dan sebagainya.

Kepatuhan bagi diri setiap kita berkait rapat dengan ketaatan, rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasul Nya serta sebagainya yang sejajar dengan kehendak syariat Islam. Kepatuhan ini menjadi mudah jika kita ada kefahaman syariat Islam dalam setiap diri kita. Sewajarnya kita kena belajar tentang agama ini. Kita harus sedar lawan kepada patuh ialah membantah.

Firman Allah SWT mafhum Nya:

Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran; Al-Hajj : 8.

Menurut catatan beberapa kitab Tafsir, makhluk yang di Cipta Allah SWT yang pertama tidak patuh, tidak taat kepada Allah SWT ialah Iblis. Menurutnya lagi bahawa Iblis juga dikenali sebagai Azazel atau Al-Harits,  pernah menjadi ketua seluruh makhluk Jin dan pernah menjadi imam kepada para Malaikat selama beberapa puluh ribu tahun sebelum menderhaka kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT mafhum Nya:

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. Al-Baqarah : 34.

Iblis tidak taat kepada perintah Allah SWT ketika itu, kerana mengutamakan kemuliaan diri bukan kerana Allah. Lantaran itu Iblis diusir dari Syurga. Iblis terus menyombong diri, meminta hukumannya ditangguhkan hingga hari kiamat. Di samping itu Iblis terus mencabar untuk menyesatkan ketaatan Nabi Adam dan keturunannya termasuklah kita semua.

Firman Allah SWT mafhum Nya:

Iblis berkata: "Wahai Tuhan ku! Jika demikian, berilah tempoh kepada ku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)."

Allah berfirman: "Dengan permohonan mu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.

"Hingga ke hari masa yang termaklum."

Iblis berkata: " Demi kekuasaan mu (wahai Tuhan ku), aku akan menyesatkan mereka semuanya. Sad : 79-82 .

Kita harus sedar bahawa kita dicipta untuk beribadah kepada Allah SWT. Kita sewajar mentaati serta patuh kepada perintah-perintah Allah SWT serta menjauhi segala Larangan Nya. Kepatuhan dan ketaatan terhadap Allah SWT bagi setiap kita terlahir sejak tercipta Nadi Adam lagi.

Dikisahkan di dalam Al-Quran bahawa Nabi Adam pernah tidak patuh di atas larangan menghampiri sebatang pokok di dalam syurga.

Firman Allah SWT mafhum Nya:

Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isteri mu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim."

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)." Al-Baqarah : 35-36.

Ketika Nabi Adam dihukum berbeza dengan Iblis di mana ketaatan Nabi Adam tetap patuh kepada Allah SWT. Nabi Adam cepat sedar lalu terus memohon keampunan, menangis, menyesal di atas tidak taat Perintah tersebut. Nabi Adam bertaubat sepanjang hayatnya bila diusir ke bumi ini. Dikhabarkan Allah SWT menerima taubatnya Nabi Adam.

Firman Allah SWT mafhum Nya:

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. Al-Baqarah : 37.

Kita harus sedar walau pun kita tidak sunyi melakukan dosa, namun kita ada ruang untuk bertaubat, memohon keampunan, berusahalah ketika kita ada peluang, di ketika kita masih ada usia ini. Usahlah ikut jejak langkah Iblis dan sekutunya syaitan yang sombong, tidak taat, tidak patuh dan terus tidak mahu meminta keampunan.

Firman Allah SWT mafhum Nya:

Kemudian, sesungguhnya Tuhan mu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, sesungguhnya Tuhan mu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. An-Nahl : 119.

 

Kongsi: