Kita Berbeza

20/07/18 | Tulisan

Kongsi: 

Kita Berbeza

Allah SWT menciptakan kita dan segala alam ini. Allah SWT Maha Sempurna, mencipta alam ini dengan penuh kesempurnaan. Allah SWT Maha Pengasih dan Penyayang, mencipta alam ini dengan penuh kasih sayang. Allah SWT Maha Bijaksana, mencipta alam ini dengan serba lengkap, meliputi segala kelemahan, kekurangan, keperluan dan kekuatan alam ini. 
Bagi menjamin kehidupan yang sempurna, semua makhluk perlu taat dan patuh kepada peraturan ciptaan Allah SWT sama ada dalam bentuk hukum syarak mahupun hukum alam. Namun dalam kehidupan ini kita sering bertemu dengan perbezaan. Bagaimana kita menghadapinya. 
Perbezaan sering mencetuskan masalah sesama kita sehinggakan yang berlanjutan terjadi permusuhan, apabila kita menanganinya dengan cara yang tidak betul. Walaupun secara hakikatnya kita ini semua sesama insan, tetapi tidak pernah ada yang benar-benar sama dalam segala perkara. 
Firman Allah SWT mafhum Nya: “Wahai umat manusia Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” Al-Hujurat:13.
Kita harus sedar perbezaan adalah sesuatu yang mampu membuat hidup kita lebih bererti. Di dalam perbezaan itu, tersimpan erti yang harus difahami. Dengan perbezaan, kita mampu merasakan makna kebersamaan, sehingga kita dapat  memahami bahawa perbezaan adalah kehidupan untuk sebuah pengertian.
Perbezaan merupakan keadaan, sifat dan ciri yang diciptakan Allah SWT dengan tujuan agar kita saling mengenal, berinteraksi, saling memahami dan memberi manfaat satu sama lain. Memahami dan menghadapi perbezaan, memang bergantung kepada cara kita menyesuaikan perbezaan tersebut.
Allah SWT menciptakan alam semesta dengan segala keunikan perbezaan. Kita yang bertakwa dapat memahami Maha Pencipta serta melayani perbezaan dan pelbagai ragam  ini. Sebagai contoh, kawan kita yang bukan Islam, mungkin ada yang berfikiran kita menolak berkawan dengannya kerana berbeza agama (bukan Islam), tetapi pada satu sudut lain, kita sewajarnya berbuat baik dengannya, agar dapat berdakwah, serta mengajaknya masuk Islam. 
Perbezaan dilihat dari sudut perbezaan idea, pendapat dan kepercayaan sehingga kadangkala, jika kita tidak betul dalam menguruskannya, ia  akan berakhir dengan persengketaan.
Bila berlaku beza pendapat dan kita bersikap saling menentang,  ini mudah sekali untuk mencetuskan pertengkaran. Pertengkaran kecil di meja makan, mahupun di meja perbincangan, di meja mesyuarat, di media sosial, berkesudahan bermasam muka sesama. Perbezaan ini mencetus kesan yang tidak baik di dalam masyarakat Islam serta masyarakat berbilang kaum di negara, sehingga menimbulkan sakit hati,  kemarahan,  kekecewaan dan mencemuh serta memfitnah.
Firman Allah SWT mafhum Nya: Wahai orang-orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Al Hujurat:10
Agama Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk membimbing kita supaya tidak terkeluar dari landasan kehidupan. Memang pada asasnya,  kita sebagai insan yang normal memerlukan masa serta kefahaman bagi menangani segala sesuatu perbezaan dengan sepenuh hati. 
Islam berupaya memberikan motivasi kepada kita agar terus berpegang pada prinsip-prinsip yang sewajarnya. Marilah kita sama-sama belajar  dalam perbezaan pendapat dan merai persamaannya.
Berbeza pendapat seharusnya kita layan dengan tutur kata, penyampaian, ekspresi yang dilakukan dengan baik, bijak, dan santun. Berbincang berbual secara harmoni, hormat menghormati sesama:
• Berbeza dapat  menambahkan butiran atau ilmu bagi pandangan semasa kita.
• Berbeza dapat mengukur idea kita sesama benar atau tidaknya.
• Berbeza supaya kita  sesama semakin matang & kuat.
Walaupun perbezaan pendapat, ramai kalangan kita yang begitu sukar menerimanya, namun adalah baik, bila kita dapat mengawal perbezaan sesama kita itu, terutama dalam sesuatu majlis, atau berjemaah supaya keadaan menjadi harmoni, untuk sampai menyampai, juga berpesan-pesan. Usahlah perbezaan pendapat membuat kita terpisah, berpecah dan berpuak-puak. 
 

Kongsi: