Kejadian Kita

21/08/15 | Tulisan

Kongsi: 

Firman Allah SWT mafhum Nya: "Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya (yakni jasadnya), serta meniupkan padanya roh ciptaan Nya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur." As-Sajdah 32:9. Ayat ini menerangkan bahawa kejadian kita terdiri daripada jasad dan roh. Diri kita bukanlah sekadar apa yang ternampak secara kasar di mata, anggota dan tulang-tulang yang berbalut daging dan kulit, yang memerlukan makanan dan minuman semata, tapi hakikat kejadian kita adalah dari sesuatu yang amat berharga di dalam tubuh atau jasad ini, iaitu roh. Roh merupakan unsur rohani yang ditiup Allah SWT kepada setiap kita, sedangkan jasad unsur jasmani berasal dari unsur-unsur bumi atau tanah. Unsur rohani atau roh (jiwa) adalah sejenis wujud yang berasal dari nur Allah SWT yang suci yang memiliki keupayaan dan kecenderungan untuk mengenal Allah SWT dan menyembah Nya. Roh merupakan sumber akhlak yang mulia serta senantiasa menarik jiwa dan jasad menuju mengenal dan rindu akan Allah SWT. Sedangkan unsur jasmani atau jasad adalah wujud dari bumi yang memiliki sifat-sifat tabiat kebendaan. Ramai di kalangan kita, yang leka dengan hanya melayan hawa nafsu keduniaan yang berlawanan arah dengan tabiat roh. Seharusnya kita yang memiliki jiwa yang bersih sebagaimana kejadian dan ciptaan ini, berupaya membuat kita menerima ajaran-ajaran Islam dengan berlapang dada. Apakah fitrah tentang kejadian diri kita ini. Firman Allah SWT mafhum Nya: "Maka hadapkanlah wajah mu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." Ar Rom 30:30. Fitrahnya setiap kita yang mempunyai bakat, punyai potensi, punyai keupayaan, punyai kebolehan yang semula jadi. Ianya merupakan satu ketetapan yakni pemberian Allah SWT secara semula jadi untuk menuju ke arah kebaikan. Kita juga harus sedar bahawa banyak unsur-unsur luaran mempengaruhi dan mengubah sifat semula jadi ini. Namun kita juga tahu bahawa tahap kebolehan kita boleh terus ditingkatkan atau berubah dan mendatangkan kebaikan dengan menerima bimbingan. Firman Allah SWT mafhum Nya; "Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami." As-Sajdah 32:24. Secara fitrahnya kejadian kita juga di beri kitab panduan atau petunjuk iaitu kitab suci Al-Quran atau kalam Allah SWT yang merangkumi ayat-ayat yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan kita, seperti mengatur cara hidup bermasyarakat, cara beribadah, pembahagian harta pusaka, urusan kekeluargaan, urusan pentadbiran serta pembangunan negara, urusan pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Kunci kerahsiaannya perlu digali, pintu hikmah perlu diterokai supaya arah tuju perjalanan hidup kita sentiasa mengikuti fitrah di dalam keredhaan Allah SWT. Kita tidak nafikan ke arah ini banyak rintangan serta halangannya, kita sentiasa diuji, cabarannya tetap ada, namun dengan berkat kesungguhan dan kesabaran, in sya Allah yakin lah ianya akan tercapai. Lebih-lebih lagi kita wajib mempercayai kitab Al-Quran, ianya merupakan fitrah pelengkap kepada kesempurnaan rukun Iman kita sebagai seorang Muslim . Al-Quran sebagai kitab panduan dan rujukan utama dalam kehidupan seharian kita. Juga merupakan benteng kepada kita terhadap godaan dunia dan memohon perlindungan Allah SWT. Dalam kesibukan harian, kita sewajarnya memberikan waktu dan ruang, walau seketika kepada diri dan keluarga untuk mencari keredhaan Allah SWT melalui penghayatan dan pendidikan Al-Quran. Al-Quran adalah fitrah sebagai sumber rujukan kejadian kita yang mampu menjadi penunjuk arah serta meningkatkan fahaman Islam dalam kehidupan di samping berupaya menangani pelbagai halangan, cabaran dan ancaman terhadap akhlak dan moral kita serta masyarakat

Kongsi: